PENGHARGAAN: Dr. Ishak Johari (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada Dr. Ahmad Nazib Johari selepas Majlis Perasmian dan Sesi Motivasi Program Persediaan SPM 2026 di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

KUCHING: Seramai 80 murid Tingkatan Lima daripada keluarga B40 memanfaatkan cuti persekolahan dengan mengikuti Program Motivasi dan Bengkel Persediaan SPM 2026 selama lima hari di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

Program yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 4 September 2026 itu melibatkan murid terpilih dari kawasan Parlimen Petra Jaya dan Santubong.

Peserta terdiri daripada murid yang bersekolah di 10 buah sekolah menengah sekitar Kuching, antaranya SMK Santubong, SMK Matang Jaya, SMK Matang Hilir, SMK Green Road dan SMK Semerah Padi.

MOTIVASI: Dr. Ahmad Nazib Johari menyampaikan sesi motovasi kepada para peserta yang bakal menghadapi peperiksaan awal November ini. 

Penyertaan dibuat secara individu berdasarkan pemilihan penganjur dan bukannya mewakili sekolah masing-masing secara rasmi.

Bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif, semua peserta dibahagikan kepada empat kelas berbeza, dengan setiap kelas terdiri daripada 19 hingga 20 murid.

Pembahagian tersebut membolehkan tenaga pengajar memberikan bimbingan secara lebih dekat, memantau perkembangan peserta dan mengenal pasti kelemahan mereka sepanjang program berlangsung.

MOTIVASI: “Jangan takut melakukan kesilapan ketika belajar kerana kesilapan yang diperbetulkan sekarang boleh membantu murid mengelakkan kehilangan markah nanti,” -Dr. Ahmad Nazib Johari

Program anjuran Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) bersama Terbilang Academy Sarawak dan Pusat Tuisyen Terbilang itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan kolaborasi serta sumbangan dana daripada Jabatan Perdana Menteri melalui Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Bengkel yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu bertujuan meningkatkan motivasi, mengukuhkan penguasaan Matematik serta mendedahkan calon kepada teknik menjawab soalan SPM mengikut kehendak skema pemarkahan.

Program tersebut turut memberi peluang kepada peserta membuat ulang kaji secara berfokus menggunakan latihan yang dibangunkan berdasarkan pola kemahiran dan bentuk soalan percubaan SPM dari pelbagai negeri.

TAHNIAH: Salah seorang peserta menerima Sijil penyertaan pada Sesi Ceramah Motivasi yang disampaikan oleh Dr. Ahmad Nazib Johari Sempana Bengkel Persediaan SPM 2026

Sepanjang lima hari, peserta dibimbing menguasai topik utama Matematik seperti fungsi dan persamaan kuadratik, asas nombor, ubahan, ketaksamaan linear, matriks, statistik, geometri, trigonometri dan graf gerakan garis lurus.

Pengisian bengkel turut merangkumi topik kewangan, percukaian, insurans, set, transformasi, kebarangkalian, teori graf dan penaakulan matematik.

Modul khas yang disediakan mengandungi lebih 200 soalan latihan merangkumi aras asas, sederhana dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

SEMANGAT SPM: Dr. Ahmad Nazib Johari (tengah) bersama Dr. Ishak Johari dan peserta salah satu daripada empat kelas selepas sesi motivasi di Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya.

Setiap sesi memberikan peluang kepada peserta mencuba soalan secara kendiri sebelum jawapan dan langkah penyelesaian dibincangkan bersama fasilitator.

Selain menguasai konsep dan formula, peserta didedahkan kepada teknik mengenal pasti kehendak soalan, menyusun langkah pengiraan, mengurus masa serta mengelakkan kesilapan lazim yang boleh menyebabkan kehilangan markah.

Majlis perasmian program pada Isnin, pukul 4 petang, telah disempurnakan oleh Dr. Ahmad Nazib Johari, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

TAHNIAH: Salah seorang peserta menerima sijil penyertaan pada Majlis Penutupan Bengkel Persediaan SPM 2026 sambil disaksikan Dr. Ishak Johari (kiri).

Ahmad Nazib yang turut menyampaikan ceramah motivasi menyeru peserta supaya membina komitmen kendiri, mengikis perasaan takut untuk mencuba dan menjadikan kelemahan sebagai peluang pembelajaran.

Beliau turut mengingatkan calon SPM supaya mengurus masa dengan bijak, memilih lingkungan rakan yang positif serta membina mentaliti pejuang dalam menghadapi cabaran pembelajaran dan peperiksaan.

Pengerusi PKKPS, Dr. Ishak Johari berkata, program tersebut dirancang bagi memastikan murid dapat menggunakan musim cuti sekolah untuk meningkatkan tahap persediaan akademik dan mental mereka.

KENANGAN: Dr. Ishak Johari bergambar bersama sebahagian daripada 80 peserta selepas Majlis Penutupan Program Motivasi dan Bengkel Persediaan SPM 2026.

Menurutnya, pelaksanaan program selama lima hari membolehkan setiap topik diberikan perhatian secara lebih mendalam berbanding program akademik yang dilaksanakan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, gabungan motivasi, latihan intensif, modul berstruktur dan bimbingan dalam kumpulan kecil mampu membantu peserta mengenal pasti kelemahan serta membina keyakinan sebelum menduduki SPM.

Program berkenaan berakhir pada Jumaat dengan majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada peserta yang disempurnakan oleh Dr. Ishak.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, rakan kolaborasi, tenaga pengajar, ibu bapa serta semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut.

AMUAN RINGAN: Dr. Ahmad Nazib memberi kata-kata semangat kepada pelajar yang bakan menduduki peperiksaan penting SPM menjelang November 2026.

Penganjuran itu diharapkan dapat membantu peserta meningkatkan pencapaian Matematik dalam SPM 2026, selain membentuk murid yang lebih berdisiplin, yakin dan bersedia menghadapi peperiksaan.

Sumber: Utusan Borneo

Suara Sarawak | Kategory Sarawak