KUCHING, 28 Ogos – Sarawak terus mencipta nama di pentas pendidikan dan latihan teknikal (TVET) apabila Ketua Pegawai Eksekutif Terbilang Academy Sarawak (TAS), Dr. Ishak Johari, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Personaliti Cemerlang bagi Kepimpinan TVET & Pendidikan pada majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025) yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

Penghargaan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Dr. Ishak dalam memperkasa bidang pendidikan dan TVET di Sarawak, khususnya melalui program-program komuniti dan kerjasama strategik dengan universiti tempatan.

Menurut Dr. Ishak, kejayaan ini bukan sahaja miliknya secara peribadi, tetapi juga milik seluruh rakyat Sarawak yang sentiasa memberi sokongan terhadap perjuangan TAS dalam memajukan bidang pendidikan negeri.

“Saya dedikasikan pengiktirafan ini kepada anak-anak Sarawak. Kejayaan ini membuktikan bahawa negeri kita mempunyai potensi besar untuk melahirkan modal insan berkualiti melalui pendidikan dan TVET. Kami akan terus berusaha memastikan lebih ramai pelajar, termasuk dari luar bandar, mendapat akses kepada pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2005 hanya sebagai pusat tuisyen, TAS telah berkembang memainkan peranan penting dalam membangunkan akses pendidikan alternatif untuk rakyat Sarawak, termasuk memperluas program bacaan, tuisyen, latihan kemahiran dan peluang pengajian tinggi. Dengan kejayaan di META 2025, TAS semakin menyerlah sebagai institusi pendidikan swasta tempatan yang memberi impak besar kepada negeri.

Majlis META 2025 turut diserikan dengan forum bertajuk “Skills for the Future, Smarter Pathways: Innovating Education & TVET for a Changing World”, yang menekankan kepentingan inovasi pendidikan dan TVET dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan.

Kejayaan Dr. Ishak di META 2025 menambah lagi keyakinan bahawa Sarawak mampu muncul sebagai hab pendidikan dan TVET serantau, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri ke arah masa depan yang lebih makmur.