Bersempena Hari Malaysia 2020 ini, ayuh kita perkukuhkan persefahaman antara kaum dan agama, dan terus menjunjung Perlembagaan dan semangat federalisme. Kita juga harus memikir dan merencana sebaik mungkin dalam memantapkan kedudukan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 agar kedua-dua negeri ini tidak lagi disisihkan dari pembangunan yang seimbang dan munasabah.
Alhamdulillah, hari ini sudah 57 tahun kewujudan Malaysia. Banyak yang kita lalui bersama. Sudah jauh kita melangkah. Singapura telah keluar tetapi keutuhan hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak bertambah kukuh dan terus disemai.
Memang benar, di dalam sebuah keluarga besar, ada kala timbul rasa tidak puas hati di kalangan kita dan ia perlu dinilai dan dicari satu titik pertemuan supaya hubungan kita tidak terlerai.
Semoga Allah merahmati kita semua.
Dirgahayu Negaraku Malaysia!
DR. ISHAK JOHARI